Wednesday 7 October 2009

Keluhan Penduduk Tanjong Tokong.......



Persatuan Penduduk Kampung Tanjong Tokong menggesa campur tangan kerajaan pusat untuk mempercepatkan proses mewartakan kampung itu sebagai zon warisan.

Pengerusinya, Mohd. Salleh Yahya, juga dikenali sebagai "Cikgu Salleh" berkata, kampung berusia lebih 200 tahun itu perlu dikekal dan dipulihara demi menyelamatkan hak pemilikan tanah penduduknya.

Katanya, ia merupakan antara perkampungan dalam bandar yang masih wujud di negeri ini yang masih mengekalkan budaya masyarakat Melayu tradisional dan wajarlah dipertahankan.

Menurut beliau, sejak UDA Holdings Berhad (UHB) mengambil alih tanah di situ, kawasan perkampungan itu telah diisytihar sebagai setinggan menyebabkan penduduk seolah-olah hilang hak terhadap tanah mereka.

Seorang penduduk Kg Tanjung Tokong, En Ariffin Bin Man menyatakan bahawa kerajan pusat harus mengambil tahu keadaan di kampung ini kerana kerajaan pusat yang menjanjikan kemajuan dan pembangunan Kg. Tanjung Tokong sejak berpuluhan tahun yang lalu.

Beliau juga menyoal pihak manakah yang bertanggung jawab untuk menaikan taraf orang Melayu di Kg Tanjung Tokong?

UHB mula mengambil alih tanah di kampung itu sejak 1974 bagi melaksanakan pembangunan di situ termasuk membina kawasan perumahan dan pusat perniagaan moden.

Sejak 1994 hingga 2004, UHB mengarahkan penduduk kampung berpindah dari perkampungan itu secara berperingkat-peringkat, bagaimanapun sehingga hari ini pembangunan yang dirancang tergendala.

Video oleh Jimmy Leow (wartawan masyarakat)

No comments:

Post a Comment